Home Kenyataan Media PAS Melaka

Perutusan tahun baharu YDP PAS Masjid Tanah

575
SHARE

Tahun 2021- azam perkasakan penyatuan Melayu-Muslim.

TAHUN 2020 telah merekodkan sejarah yang bercampur-baur antara suka dan duka terhadap perjuangan mengembalikan maruah dan nama baik Melayu-Islam di negara kita ini.

Kejayaan menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila Bersatu keluar daripada pakatan itu telah mempercepatkan lagi usaha itu tanpa menunggu pilihan raya. Itulah jasa Bersatu kepada PAS dan Umno yang sebelum ini berada di bangku pembangkang.

Kejayaan ini membuktikan bahawa orang Melayu-Islam akan bersatu jika hak mereka terancam dan diperkotak-katikkan.

Sepertimana yang sering diungkapkan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali bahawa orang Melayu tidak boleh bergaduh dan berpecah lagi, maka seharusnya tahun 2021 ini dijadikan sebagai tahun memperkasakan penyatuan Melayu-Musĺim di Malaysia ini.

Semua pihak harus benar-benar ikhlas dan melupakan segala persengketaan silam yang telah merugikan orang Melayu dan harus bersama-sama dalam satu pakatan yang besar yang dapat menjadi bahtera penyelamat kepada Melayu-Muslim.

Jika kita terus dibuai nostalgia, dendam, marah dan kisah silam yang melukakan maka sampai bila pun orang Melayu-Islam tidak akan berjaya disatukan.

PAS sendiri telah melupakan segala persengketaan teruk selama lebih enam dekad dengan Umno demi untuk kepentingan Melayu-Islam. Jadi tidak ada sebab untuk kita memilih-milih dengan siapa kita perlu berkawan. Asalkan mereka orang Melayu yang tidak mahu bersama dengan PH dan DAP, maka itulah rakan kita.

Saya mewakili seluruh Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Masjid Tanah, ahli dan pimpinan PAS kawasan ini di semua peringkat mengucapkan selamat menyambut tahun baharu 2021.

Saya berharap agar tahun 2021 ini benar-benar dapat menjadi tahun untuk kita memperkasakan penyatuan Melayu-Muslim ini kerana kita sudah hampir sangat dengan Pilihan Raya Umum ke 15. Masa tidak banyak. Jangan berpecah lagi. Jika kita berpecah lagi maka PH akan menguasai kita sekali lagi. Nauzubillah!

“Perkasakan MN, Pertahan PN”

USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
• Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah
• Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka
• Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka