Home Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Al Quran  Surah As-Saff: Siri 1

534
SHARE


Pengenalan surah As-Saff:

Surah As-Saff merupakan surah yang ke-61 dalam al-Quran. Surah ini tergolong dalam surah Madaniyah dan mengandungi 14 ayat. Dinamakan As-Saff kerana pada ayat 4 surah ini terdapat perkataan ‘Soffan’ yang bererti satu barisan. Surah ini ditujukan kepada golongan Mujahidin (para pejuang dalam perang) kerana dengan mereka inilah, agama Islam dapat disebarkan ke serata dunia.

Umumnya surah ini bertujuan untuk:
1) membina keyakinan di dalam diri setiap Muslim bahawa agama Islam adalah satu agama dan manhaj Ilahi yang terakhir untuk manusia.

2) membentuk rasa tanggungjawab dan taklifan yang perlu dipikul oleh umat Islam yang menerima amanah agung tersebut daripada umat-umat yang terdahulu.

Ayat: 1 : Segala Makhluk Bertasbih Kepada Allah SWT

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

سَبَّحَ لِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۖ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ (١)

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah, dan Dialah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

📖 Tafsir ringkas:

1. Surah As-Saff adalah salah satu surah al-musabbihat, iaitu surah yang bermula dengan tasbih.

2. Di permulaan ayat pertama ini, Allah SWT menyatakan kepada manusia bahawa seluruh alam, sama ada di langit mahupun makhluk-makhluk di bumi bertasbih membesarkan-Nya. Tasbih bermaksud memuji dan meninggikan kedudukan Allah SWT serta tidak merendah-rendahkan-Nya.

3. Apabila alam bertasbih membesarkan Allah, ini membuktikan kekuasaan Allah SWT dalam mengatur perjalanan alam daripada sebesar-besarnya hingga kepada yang sekecil-kecilnya.

4. Sekiranya kita meneliti satu per satu alam di sekeliling kita, sama ada dengan mendongak ke langit, memerhati bumi ataupun merenungi diri sendiri, pasti terserlah keperkasaan Allah dalam setiap sudut aturan ciptaan-Nya tanpa ada yang mampu mengubah atau menandingi kehebatan ciptaan-Nya.

🎀 Pengajaran:

1. Suburkanlah iman di hati kita dengan sentiasa bertasbih membesarkan Allah SWT walau di mana saja berada dan pada bila-bila masa.

2. Alam adalah bukti kehebatan dan kekuasaan Allhlah SWT. Maka kita perlu merenung dan mentadabbur alam supaya kita dapat menghayati dan memahami betapa hebatnya kerajaan Allah SWT ini.

3. Menyucikan jiwa dengan tasbih dan tahmid perlu dilazimi oleh setiap insan sebagai bukti kerendahan hati seseorang.

📚 Rujukan:
Tafsir Al-Azhar, HAMKA

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
1 Januari 2021 / 17 Jamadilawal 1442

#baca&sebar
#siritadabbursurahassaff