Home Berita PAS Melaka

Rencana: Orang tenang pasti menang

729
SHARE

Oleh: Abu Harith

KAWAN, maafkanlah mereka. Mungkin hari ini giliran mereka telah melakukan kesilapan. Hari esok belum tentu kita terlepas untuk membuat kesilapan yang sama juga. Usahlah berlagak seolah-olah kita tidak pernah tersilap. Kita tidak akan selamanya dapat menongkat langit.

Hidup ini terlalu singkat untuk menyemai benih-benih benci, dendam dan kesumat. Janganlah dirosakan hati yang bersih ini dengan perasaan marah yang membuak-buak. Benci yang tidak berkesudahan. Dengki yang tidak bertepian.

Maafkanlah kesilapan mereka. Agar kita dan mereka sama-sama belajar daripada kesilapan lalu. Berlapang dadalah… Sesekali belajarlah untuk melepaskan. Tidak selamanya perlu digenggam erat perasaan amarah hingga membarah, merosakkan diri sendiri. Sedikit pun tidak memberikan apa manfaat buat perjalanan hidup ini. Ia akan hanya merosakan perhubungan, menjauhkan hati-hati dan menambah kesengsaraan.

Firman Allah SWT.

”Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya”.

-Surah Al-Imran, Ayat 159

Sebagaimana kita ingin kesilapan kita ini dimaafkan oleh orang lain, begitu jugalah mereka. Harapan kita sama. Andai tersilap, punyai ruang untuk memohon maaf, bertaubat dengan kesilapan yang telah berlaku. Berjanji sepenuh hati untuk tidak mengulanginya lagi.

Firman Allah SWT.

Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

-Surah At-Taghabun, Ayat 14

Kita semua pastinya berharap untuk pulang bertemu dengan Allah dalam keadaan tenang dan damai. Tiada lagi sengketa berpanjangan. Sudah pasti kita tidak mahu akan didakwa kelak atas kesilapan yang telah dilakukan. Setiap orang menginginkan perjalanan ke syurga itu lancar dan dipermudahkan. Tidak ada suasana saling dakwa-dakwi lagi di sana nanti.

Firman Allah SWT.

“Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi Tuhanmu)”

-Surah Al-Fajr, Ayat 28

Moga kita lebih tenang. Maafkanlah diri sendiri dan mereka juga. Insya-Allah kemenangan itu akan menjadi milik kita. Berilah kemaafan. Di sisi manusia mungkin kita dilihat kalah, tapi di sisi Allah S.W.T kitalah pemenang yang sebenarnya. Sesungguhnya Allah S.W.T akan sentiasa bersama hambanya yang taat.

Orang tenang pasti menang…

Penulis adalah Kaunselor Berdaftar


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)