KelantanNegeri

Kelantan-Thailand sasar projek pertanian bersama, beri manfaat terus kepada rakyat

KOTA DARULNAIM, 20 Ogos – Kerajaan Kelantan dan Thailand menyasarkan pelaksanaan projek pertanian bersama yang lebih praktikal bagi memberi manfaat secara langsung kepada petani, usahawan agro, golongan belia serta masyarakat di kedua-dua belah sempadan.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kerjasama yang terjalin antara Kelantan dan Thailand perlu dikembangkan daripada pertukaran lawatan serta perkongsian ilmu kepada projek-projek praktikal yang mampu memberi impak kepada rakyat.

“Harapan kita supaya kerjasama ini terus berkembang daripada pertukaran lawatan dan perkongsian ilmu kepada projek-projek praktikal yang dapat memberikan manfaat secara langsung kepada petani, usahawan agro, golongan belia serta masyarakat di kedua-dua belah sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada Program Jalinan Kerjasama bagi menyambut lawatan delegasi Office of the Royal Development Projects Board (ORDPB) dan Pikun Thong Royal Development Study Centre, Thailand di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Menurutnya, hubungan Kelantan dengan Selatan Thailand bukan sekadar berkaitan kedudukan geografi, malah kedua-dua pihak mempunyai persamaan dari aspek budaya, komuniti, aktiviti pertanian dan kepentingan ekonomi.

Justeru, katanya, persamaan tersebut membuka ruang yang luas untuk membina kerjasama lebih erat dan saling memberi manfaat, khususnya dalam sektor pertanian serta pembangunan komuniti.

Beliau turut mengalu-alukan kerjasama yang dibangunkan antara UMK dan ORDPB, khususnya menerusi Pikun Thong Royal Development Study Centre, selain menghargai kesudian pihak pusat berkenaan menerima kunjungan beliau bersama delegasi Kerajaan Negeri Kelantan, pada Mei lalu.

“Kunjungan tersebut telah memberikan pendedahan yang sangat baik kepada kami mengenai pengalaman Thailand dalam pembangunan pertanian dan komuniti. Lebih penting, ia turut mengeratkan hubungan serta persefahaman antara Kelantan dengan rakan-rakan kita di Selatan Thailand,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dato’ Mohd Saripudin berkata, Kelantan mempunyai asas yang baik untuk memperluaskan jaringan kerjasama berkenaan melalui penglibatan Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB).

Katanya, KPKB kini giat membangunkan kerjasama dengan Nara Green Land, sebuah NGO di Thailand, khususnya dalam inisiatif pembangunan belia dan sektor penternakan lembu.

“Saya melihat hubungan yang telah terbina ini boleh diperkukuhkan lagi dengan membawa UMK dan rakan-rakan kita dari Thailand bersama KPKB dalam satu kerangka kerjasama yang lebih bermakna,” jelasnya.

Beliau juga memaklumkan, UMK mempunyai kekuatan dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pemindahan ilmu, manakala rakan-rakan dari Thailand mempunyai pengalaman dalam pembangunan pertanian dan komuniti.

Pada masa sama, katanya, KPKB serta agensi-agensi Kerajaan Negeri boleh memainkan peranan dalam aspek pelaksanaan, penglibatan industri dan pengkomersialan bagi memastikan hasil kerjasama dapat diterjemahkan kepada manfaat yang lebih besar.

Dalam pada itu, Exco Pertanian mencadangkan supaya beberapa bidang kerjasama yang benar-benar praktikal dikenal pasti dan dilaksanakan secara berperingkat, antaranya teknologi pertanian, pembangunan usahawan belia, pemprosesan makanan, pembangunan halal, pengkomersialan produk serta pemasaran.

“Kita tidak semestinya perlu memulakan terlalu banyak perkara dalam satu masa. Mungkin kita boleh bermula dengan satu atau dua projek yang benar-benar berpotensi, kita laksanakan bersama dengan baik, kita ukur impaknya, dan seterusnya kita kembangkan kepada skala yang lebih besar,” ujarnya.

Beliau menegaskan, pendekatan tersebut penting bagi memastikan kerjasama yang dibangunkan mempunyai hala tuju yang jelas, praktikal dan mampu menghasilkan manfaat sebenar kepada rakyat.

“Hubungan telah kita bina. Sekarang, marilah kita bersama-sama membina projek, program dan mencipta kejayaan,”ujarnya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Kelantan bersedia untuk memudah cara dan memberikan sokongan kepada kerjasama yang memberi manfaat antara agensi Kerajaan Negeri, UMK, pihak industri dan rakan-rakan dari Thailand.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ORDPB, Pikun Thong Royal Development Study Centre, UMK, Royal Thai Consulate-General, JAHEAIK serta semua jabatan, agensi dan rakan industri yang terlibat dalam menjayakan kerjasama tersebut.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️