Pertandingan Cipta Logo Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 Dibuka
PAS Pusat menganjurkan Pertandingan Cipta Logo sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 yang bakal berlangsung di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kelantan. Pertandingan ini terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan tidak dikenakan sebarang bayaran penyertaan.
Menurut kenyataan rasmi, tempoh penyertaan dibuka bermula 5 Ogos 2026 sehingga 12 Ogos 2026, jam 12:00 tengah malam. Setiap peserta dikehendaki mengisi borang penyertaan yang disediakan di laman web rasmi PAS.
Kriteria Logo
- Reka bentuk hendaklah baru dan asli serta tidak mengandungi unsur sensitif.
- Logo menggambarkan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 dan ciri-ciri lokasi Muktamar Tahunan kali ini di Negeri Kelantan.
- Logo melambangkan identiti Kelantan, seperti elemen budaya, warisan, seni serta simbol negeri yang bersesuaian.
- Logo yang dikemukakan hendaklah bebas daripada sebarang unsur plagiat dan tidak boleh menggunakan, meniru atau mengubah suai mana-mana logo atau reka bentuk yang telah diterbitkan atau digunakan oleh pihak lain.
- Penggunaan warna tidak melebihi 4 warna dan reka bentuk hendaklah menarik serta kemas.
- Logo mestilah disertakan penjelasan terhadap reka bentuk, simbol dan warna yang digunakan.
- Logo dan penjelasan logo hendaklah dalam satu dokumentasi bersaiz A4 berwarna putih (21cm x 29.7cm, resolusi 300dpi).
Syarat-Syarat Penyertaan
- Terbuka kepada semua rakyat Malaysia.
- Setiap peserta dikehendaki mengisi borang penyertaan yang disediakan di laman web rasmi.
- Penyertaan adalah percuma.
- Peserta boleh menghantar seberapa banyak penyertaan.
- Semua penyertaan adalah milik penganjur.
- Keputusan pengadil adalah muktamad.
Cara Penghantaran
Peserta perlu menghantar penyertaan dalam bentuk softcopy yang merangkumi:
- Satu (1) dokumen format .pdf, .ai atau .psd; dan
- Satu (1) dokumen format .jpeg; dan
- Borang Penyertaan yang telah lengkap diisi.
Semua penyertaan hendaklah dihantar ke e-mel logomuktamar@pas.org.my.
Borang penyertaan dan maklumat lanjut boleh diperoleh di pas.org.my/logomuktamar.