KelantanNegeri

400 ekar projek solar LSS5 pacu ekonomi Kelantan

Oleh: Irham Hilmi Hashim

PASIR MAS, 23 Julai – Projek Solar Berskala Besar (LSS5) seluas 400 ekar di Kampung Serongga Mukim Apam yang dibangunkan di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) melalui pajakan selama 23 tahun dijangka menjadi pemacu pembangunan ekonomi hijau serta industri tenaga boleh baharu di Kelantan.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata pelaksanaan projek strategik itu membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi Kelantan sebagai destinasi pembangunan tenaga lestari yang mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurutnya, pembangunan loji tenaga solar tersebut bukan sahaja memperkukuh infrastruktur tenaga bersih negeri malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan, penyertaan usahawan tempatan, pembekal perkhidmatan serta rantaian ekonomi baharu yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Kerajaan Negeri tidak mahu pembangunan yang akhirnya meminggirkan masyarakat tempatan atau menyebabkan mereka menjadi asing di bumi sendiri. Sebaliknya setiap pelaburan yang dibawa masuk hendaklah membuka ruang kepada penyertaan rakyat, memperkasa ekonomi setempat serta mengangkat kesejahteraan negeri secara menyeluruh.

“Insya Allah melalui projek yang akan dibangunkan ini saya yakin ia akan membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan, para usahawan, pembekal perkhidmatan serta tenaga kerja anak-anak Kelantan untuk turut serta dalam rantaian nilai ekonomi yang terhasil,” katanya.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️