Enggan Bayar Hutang; Wibawa Dan Ketelusan Kerajaan Madani Dipertikai
KUALA TERENGGANU – PAS mempersoalkan wibawa dan ketelusan kerajaan Madani apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak tuntutan bayaran balik wang royalti petroleum milik rakyat Terengganu berjumlah RM1.43 bilion.
Yang Dipertua PAS Besut Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, isu tersebut perlu dilihat berdasarkan konteks asal ketika dana berkenaan digunakan, dibelanjakan persekutuan untuk membangunkan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
“alasan yang diberi adalah tidak seperti mana yang dijanjikan sebelum ini. Mungkin perkara itu berlaku kerana dua entiti kerajaan yang berlainan,
“kerajaan terdahulu yang memberi komitmen untuk membuat bayaran balik, manakala kerajaan semasa melihat penggunaan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) itu daripada sudut yang berbeza,
“Namun, sepatutnya perlu dilihat dari sisi roh federalisma dan keadaan ketika itu, bagaimana Kerajaan Negeri membantu Kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan proses pembinaan lebuh raya berkenaan,” jelasnya ketika dihubungi.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, negeri itu menambah, perkara penting itu perlu diselesaika. secara matang.
“bukan berdasarkan perbezaan politik berat sebelah tetapi secara adil melalui penelitian dokumen dan rekod kerajaan, perjanjian dan fakta kewangan yang berkaitan
“walaupun terdapat perbezaan pandangan mengenai tafsiran dan penggunaan DKKP,” tegasnya
Menurutnya, tuntutan berkenaan bukan hanya melibatkan aspek perundangan, tetapi turut berkait dengan prinsip keadilan fiskal dan penghormatan terhadap komitmen yang didakwa telah dipersetujui sebelum ini.
“dalam bahasa mudahnya, apabila kita berkahwin dengan seorang janda, tanggungjawab bukan hanya terhadap pasangan tetapi turut melibatkan anak-anak serta perkara berkaitan dengannya.
“Namun dalam isu ini, seolah-olah hanya mengambil kira satu bahagian sahaja tanpa melihat keseluruhan tanggungjawab dan liabiliti yang ada,” soalnya.
Oleh itu kata beliau, sekiranya terdapat perbezaan tafsiran antara kedua-dua pihak, ruang rundingan perlu dibuka bagi mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan rakyat dan hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Perkara ini perlu dilihat secara menyeluruh, bukan hanya berdasarkan perbelanjaan DKKP semata-mata, tetapi turut mengambil kira peranan dan sumbangan Kerajaan Negeri dalam membantu menjayakan pembangunan LPT2,” tambah beliau.