KelantanNegeri

Jadikan falsafah Islam teras RUU Profesion Kerja Sosial – Dato’ Siti Zailah

Oleh: Asri Hamat

KUALA LUMPUR, 15 Julai — Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff menggesa Kerajaan Persekutuan agar menjadikan falsafah Islam sebagai teras pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial bagi memastikan profesion itu dipandu oleh nilai amanah, ihsan, keadilan, rahmah serta pemeliharaan maruah manusia.

Beliau berkata, nilai-nilai tersebut bukan sahaja menepati tuntutan Islam malah wajar menjadi asas dalam pembentukan piawaian profesion kerja sosial di negara ini.

“Kita mahukan pekerja sosial yang bersifat amanah, ihsan, adil, rahmah, pemeliharaan maruah manusia dan pencegahan kemudaratan. Semua ini sebenarnya selaras dengan kehendak Islam.

“Jadi saya mencadangkan supaya falsafah Islam dijadikan falsafah utama dalam pelaksanaan ini,” katanya ketika membahaskan RUU Profesion Kerja Sosial di Dewan Rakyat, semalam.

RUU tersebut dibentangkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat YB Dato’ Sri Nancy Shukri bagi mengadakan peruntukan penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia untuk mengawal selia pengamal kerja sosial, pelatih kerja sosial serta perkhidmatan kerja sosial di negara ini di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Menurut Dato’ Siti Zailah, Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding negara maju dari segi nisbah pekerja sosial kepada penduduk iaitu seorang pekerja sosial bagi setiap 8,576 penduduk.

Sehubungan itu, beliau berharap RUU berkenaan dapat menarik lebih ramai rakyat menyertai profesion kerja sosial di samping menyediakan perlindungan sewajarnya kepada pengamalnya tanpa mewujudkan beban peraturan yang berlebihan.

“Negara kita sebenarnya terhutang budi kepada pekerja sosial di seluruh negara. Mereka membantu mangsa penderaan, mendampingi warga emas yang ditinggalkan, menyantuni keluarga miskin, mengurus anak-anak terabai dan berhadapan dengan penagih dadah.

“Mereka melaksanakan tugas yang berat ini bukan kerana nama atau ganjaran, tetapi kerana keikhlasan membantu masyarakat,” katanya.

Beliau turut meminta penjelasan kerajaan mengenai skop pemakaian akta itu termasuk pihak yang diwajibkan berdaftar di bawah Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia.

Menurutnya, penjelasan diperlukan sama ada sukarelawan, penggerak komuniti, kakitangan pusat khidmat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) dan Ahli Parlimen yang turut melaksanakan kerja-kerja kebajikan akan tertakluk di bawah peruntukan akta tersebut.

Beliau menegaskan matlamat utama RUU itu seharusnya melahirkan lebih ramai pekerja sosial yang kompeten, berintegriti dan yakin melaksanakan amanah, bukannya mewujudkan lebih banyak prosiding tatatertib.

Dalam masa sama, beliau menggesa kerajaan memperkukuh perlindungan terhadap pekerja sosial yang berdepan tekanan emosi, trauma, risiko tindakan undang-undang dan ancaman keselamatan ketika menjalankan tugas.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan penyediaan perlindungan insurans profesional, bantuan guaman, jaminan keselamatan ketika menjalankan intervensi, sokongan psikologi, latihan berterusan yang ditanggung kerajaan serta laluan pembangunan kerjaya yang lebih jelas.

“Jangan sampai kita terlalu sibuk menjaga kebajikan masyarakat sehingga terlupa menjaga kebajikan mereka yang menjaga kebajikan orang lain,” ujarnya.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️