Pasar Terapung Pulau Sri Tanjung contoh kejayaan pelancongan komuniti yang mampan – YB Hilmi Abdullah
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 13 Julai – Pasar Terapung Pulau Sri Tanjung di Tumpat adalah contoh kejayaan pelancongan komuniti yang mampan apabila berjaya menggabungkan pemeliharaan alam sekitar, pemerkasaan warisan budaya serta penjanaan ekonomi penduduk setempat dalam membangunkan destinasi pelancongan yang unik di Kelantan.
Demikian kenyataan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah yang mengiktiraf potensi Pulau Sri Tanjung untuk terus berkembang sebagai produk pelancongan komuniti bertaraf negeri dan nasional dengan sokongan berterusan daripada kerajaan negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Menurutnya, pulau yang merupakan sebahagian daripada Kampung Teluk Renjuna itu terletak di kawasan delta muara Sungai Kelantan yang membentuk 12 buah pulau dan dihuni lebih 500 keluarga, sekali gus menawarkan pengalaman pelancongan berasaskan komuniti yang sukar ditemui di tempat lain.
“Saya melihat Pulau Sri Tanjung mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai produk pelancongan komuniti bertaraf negeri dan nasional.
“Kerajaan negeri bersama Pihak Berkuasa Tempatan akan terus menyokong usaha memperkukuh kemudahan asas, kebersihan, landskap, keselamatan dan promosi supaya lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara memilih Kelantan sebagai destinasi pelancongan pilihan,” katanya di laman rasmi, semalam.
Beliau berkata demikian selepas berkesempatan mengadakan lawatan ke Pulau Sri Tanjung sebaik selesai merasmikan Majlis Pelancaran Fire Point Bomba Komuniti Pulau Teluk Renjuna, Tumpat, pada Sabtu.
Menurutnya, antara tarikan utama di Pulau Sri Tanjung ialah pasar terapung yang menawarkan pengalaman unik apabila pelbagai juadah tradisional, makanan laut segar, kuih-muih tempatan dan hasil kampung dijual terus dari atas bot.
Tambahnya, konsep pasar terapung itu menjadi tarikan kepada pelancong dan membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat melalui pembangunan pelancongan berasaskan komuniti yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Selain itu, YB Hilmi berkata pengunjung turut berpeluang menikmati pengalaman menyusuri Sungai Kelantan dengan menaiki bot sambil menghayati panorama hutan bakau, deretan pokok kelapa serta kehidupan masyarakat pesisir sungai yang masih mengekalkan nilai budaya dan tradisi.
Beliau menegaskan pembangunan sektor pelancongan perlu sentiasa diseimbangkan dengan usaha memelihara keindahan alam semula jadi dan warisan tempatan agar kelestariannya dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
“Harapan saya, Pulau Sri Tanjung akan terus menjadi contoh kejayaan pelancongan berasaskan komuniti yang bukan sahaja memelihara keindahan alam dan warisan budaya, malah mampu meningkatkan pendapatan penduduk setempat serta merancakkan ekonomi luar bandar secara mampan,” ujarnya.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengusaha tempatan Saidi Mamat @ Ghani atau lebih dikenali sebagai Abe Mat atas usaha membangunkan Pulau Sri Tanjung sebagai destinasi pelancongan sungai yang unik dan membanggakan negeri Kelantan.
Beliau berharap destinasi itu terus menyerlah sebagai antara permata pelancongan sungai yang menjadi kebanggaan negeri serta mampu menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.
Sumber: inforakyat.kelantan.my

