Pendaftaran KFLA 2026 dibuka, platform lahir pemimpin mahasiswa masa depan – Exco Belia
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 9 Julai – Pendaftaran bagi Program Kelantan Future Leaders Academy (KFLA) 2026 kini dibuka, sekali gus memberi peluang kepada pemimpin mahasiswa anak Kelantan dari seluruh negara menyertai platform pembangunan kepimpinan anjuran Kerajaan Negeri.
Demikian kenyataan Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad di media rasminya, semalam.
Menurutnya, ilmu kepimpinan merupakan satu seni yang perlu dipelajari, diasah dan dipupuk secara berterusan.
“Sering kali kita beranggapan bahawa pemimpin dilahirkan dan bukannya dibentuk. Namun, realitinya setiap kemahiran boleh dipelajari dan setiap potensi mampu dikembangkan melalui pendedahan serta latihan yang sesuai.
“Justeru, Kerajaan Negeri membawakan program khas ini kepada pemimpin mahasiswa anak Kelantan yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) serta kolej-kolej, sama ada di dalam mahupun di luar negeri,” jelasnya.
Katanya lagi, penganjuran KFLA 2026 turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk menimba ilmu, memperluaskan jaringan hubungan sesama pemimpin mahasiswa dan mencabar potensi diri dalam suasana yang kondusif.
Tambahnya, Kelantan tidak pernah ketandusan tokoh dan pemimpin berkualiti, malah generasi mahasiswa hari ini merupakan pelapis yang bakal menyambung legasi kepimpinan negeri pada masa hadapan.
Program KFLA 2026 dijadual berlangsung selama empat hari bermula 16 hingga 19 Ogos depan di The Rhu Beach Resort, Tumpat.
Dalam pada itu, YB Zamakhshari mengajak pemimpin mahasiswa anak Kelantan merebut peluang menyertai program berkenaan bagi memperkasakan diri dan meningkatkan kualiti kepimpinan.
“Jika anda ingin menjadi pemimpin yang lebih berkualiti, membina rangkaian bersama pemimpin mahasiswa, menimba ilmu daripada tokoh berpengalaman serta mencabar potensi diri, maka KFLA 2026 adalah tempat yang tepat,” katanya.
Sumber: inforakyat.kelantan.my
