NegeriTerengganu

Perkukuh Jentera, Tingkat Munajat Hadapi Pilihan Raya

SETIU – Jentera PAS diseru memperkukuhkan kesiapsiagaan di semua peringkat dengan memperbanyakkan munajat, qiamullail dan melaksanakan strategi parti secara berdisiplin sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Dr. Wan Mat Sulaiman, berkata kejayaan mempertahankan kemenangan bukan sekadar bergantung kepada kekuatan organisasi atau jumlah penyokong, sebaliknya memerlukan pertolongan Allah SWT yang mesti diiringi dengan usaha dan perancangan tersusun.

Beliau berkata, pengajaran daripada Surah Al-Anfal mengenai Perang Badar membuktikan kemenangan diberikan Allah kepada golongan yang mempunyai keimanan, kepimpinan berkualiti dan pergantungan penuh kepada-Nya.

“Kita mesti yakin bahawa kemenangan itu milik Allah. Oleh sebab itu, kita perlu memperbanyakkan doa, munajat dan tawakal di samping melaksanakan segala perancangan yang telah disusun oleh parti,” katanya ketika menyampaikan ucapan kepada pimpinan dan jentera PAS,” jelasnya ketika berucap dalam Mesyuarat Agung PAS kawasan Setiu kali ke 48 di Dewan Serbaguna MDS Sungai Tarom, sabtu.

Menurut beliau, setiap ahli perlu mematuhi pelan tindakan serta strategi yang telah dirangka hasil kajian dan penelitian parti bagi memastikan gerak kerja pilihan raya berjalan secara tersusun dan berkesan.

“Seluruh pimpinan dan anggota diingatkan supaya sentiasa bermuhasabah, meningkatkan kualiti kepimpinan, memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT melalui ibadah serta menjaga hubungan baik sesama ahli, keluarga dan masyarakat,” ujarnya.

Katanya, ketakwaan, iltizam dalam perjuangan, disiplin melaksanakan amanah serta akhlak yang baik merupakan antara syarat penting untuk memperoleh pertolongan dan kemenangan.

Dr. Wan Mat berkata, seluruh jentera juga perlu menyantuni pengundi dengan hikmah dan akhlak mulia di samping memperkemaskan kelemahan yang dikenal pasti melalui kajian serta penilaian parti.

Justeru itu beliau yakin, PAS mampu mempertahankan penguasaan di kawasan Setiu sekiranya seluruh jentera terus bersatu, memperkukuhkan gerak kerja dan meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT dalam menghadapi pilihan raya nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️