Nafkah asas kesejahteraan keluarga, pengabaiannya ancam masa depan ummah – MB Kelantan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 2 Julai — Tanggungjawab menunaikan nafkah merupakan asas pembinaan institusi keluarga yang sejahtera, manakala pengabaiannya menjejaskan kebajikan isteri dan anak-anak sekali gus mengancam kesejahteraan masyarakat serta masa depan ummah, kata Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.
Beliau berkata, nafkah bukan sekadar tuntutan moral, sebaliknya kewajipan yang ditetapkan syariat Islam dan wajib dipenuhi oleh setiap suami terhadap isteri serta anak-anak. Apabila hak tersebut dipelihara, keharmonian keluarga dapat diperkukuh sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan negeri.
“Program seperti ini amat penting untuk memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai hak nafkah dan peruntukan undang-undang, di samping menyuburkan kesedaran bahawa setiap hak yang diperintahkan syariat ialah amanah yang wajib ditunaikan dengan penuh tanggungjawab kepada Allah SWT,” katanya ketika merasmikan Program Ops Nafkah: Waris Peduli, Keluarga Sejahtera 2026 di Dewan Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, di sini, hari ini.
Program anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan dengan kerjasama Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia serta beberapa agensi berkaitan itu menghimpunkan 300 peserta terdiri daripada imam mukim, penghulu, guru bimbingan dan kaunseling, kaunselor berdaftar, golongan armalah serta kakitangan agensi kerajaan.
Sumber: inforakyat.kelantan.my