KelantanNegeri

Kesedaran rakyat Kelantan terhadap kesihatan mental semakin meningkat

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 2 Julai – Kesedaran rakyat Kelantan terhadap kepentingan menjaga kesihatan mental semakin meningkat, dibuktikan dengan pertambahan individu yang tampil mendapatkan khidmat kaunseling dan rawatan di fasiliti kesihatan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, peningkatan itu menunjukkan kempen kesedaran yang dilaksanakan kerajaan negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

Katanya, kesihatan mental bukan lagi isu terpencil yang hanya melibatkan segelintir individu, sebaliknya menjadi cabaran kesihatan awam yang semakin mendapat perhatian di seluruh negara termasuk di Kelantan.

“Hasrat kita adalah untuk mengelakkan rakyat daripada mengalami penyakit mental. Sebab itu pelbagai program seperti kempen, ceramah dan promosi budaya hidup sihat dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.

“Tiga faktor utama yang sering dikaitkan dengan penyakit mental ialah tekanan, kemurungan dan kebimbangan. Tekanan boleh dialami oleh semua golongan, manakala kemurungan menyebabkan seseorang cenderung menyendiri dan tidak mahu bergaul kerana berasa rendah diri akibat layanan masyarakat, ahli keluarga atau rakan sekerja.”

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Jelajah Larian Obor Harapan Kesihatan Mental peringkat Negeri Kelantan, di perkarangan AEON Mall, di sini, hari ini.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️