Kelantan tuan rumah MALDEX 2026, bukti mampu anjur persidangan berprestij
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 1 Julai — Pemilihan Kelantan sebagai tuan rumah Malaysia Dental Conference & Exhibition (MALDEX) 2026 mencerminkan keyakinan pelbagai pihak terhadap keupayaan negeri ini menganjurkan program ilmiah, profesional bertaraf kebangsaan yang berprestij sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi persidangan berimpak tinggi.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, persidangan yang dijadual berlangsung pada 3 hingga 5 Julai di Renai Hotel, Kota Bharu itu bakal menghimpunkan pakar pergigian, ahli akademik, pengamal industri serta pemain sektor kesihatan dari seluruh negara.
Menurutnya, penganjuran MALDEX 2026 bukan sahaja memperkukuh jaringan profesional, malah menjadi platform strategik untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pergigian melalui perkongsian ilmu, inovasi dan amalan terbaik.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi Dental PAPISMA (Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia) di pejabatnya di Kota Darulnaim, semalam.
Sumber: inforakyat.kelantan.my