Masyarakat diseru jadi ejen komuniti, bendung gejala negatif- YB Nik Bahrum
Oleh: Asri Hamat
PENGKALAN CHEPA, 29 Jun – Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka, YB Nik Bahrum Nik Abdullah menggesa masyarakat memainkan peranan sebagai ejen komuniti dengan mengambil berat terhadap keadaan sekeliling, termasuk melaporkan kegiatan penyalahgunaan dadah kepada pihak berkuasa.
Katanya, masyarakat tidak seharusnya terlalu berpegang kepada pepatah “jangan jaga tepi kain orang” jika hal itu melibatkan kepentingan dan keselamatan komuniti.
Menurutnya yang juga Timbalan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, walaupun ahli keluarga sendiri tidak terbabit dengan gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah, masyarakat tetap perlu mengambil berat sekiranya perkara itu berlaku dalam kalangan jiran atau penduduk setempat.
“Kalau kita tahu ada anak-anak jiran atau penduduk kampung yang terbabit dengan dadah, kita kena memainkan peranan. Sekurang-kurangnya laporkan kepada polis supaya tindakan dapat diambil,” katanya ketika berucap pada Program Bina Ummah Dewan Negeri Chempaka di Kampung Pantai Dasar, di sini, pada Sabtu.
Beliau turut memberi contoh sekiranya penduduk mengetahui terdapat lokasi di kampung yang menjadi tempat remaja berkumpul dan menghisap bahan terlarang, perkara itu perlu segera dilaporkan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan gejala berkenaan terus menular dalam masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk bersama-sama memelihara kesejahteraan komuniti dengan saling mengambil berat demi memastikan persekitaran yang lebih selamat dan bebas daripada gejala sosial.
Mengulas tentang pembinaan ummah, beliau berkata, usaha membina masyarakat yang baik perlu bermula dengan setiap individu memperbaiki diri terlebih dahulu sebelum mengharapkan orang lain melakukan perkara yang sama.
“Kalau kita mahu hidup dalam masyarakat yang baik, mahu jiran dan anak-anak kita menjadi orang yang baik, maka kita sendiri mesti menjadi orang yang baik terlebih dahulu.
“Kita kena bermula daripada diri sendiri, belajar perkara yang sepatutnya dan membetulkan apa yang perlu diperbetulkan,” katanya.
Sumber: inforakyat.kelantan.my