Dataran Maharani dinaik taraf, rakyat diseru sokong produk usahawan tempatan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 26 Jun — Dataran Maharani dinaik taraf oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menjadi ruang ekonomi dan rekreasi baharu di tengah bandar dan diharap dapat menyemarakkan budaya membeli produk keluaran usahawan tempatan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.
Kenyataan itu dizahirkan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat ketika merasmikan Majlis Pelancaran KALA @ Dataran Maharani di Dataran Maharani, di sini, semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu KALA PKINK berkata, inisiatif itu membuktikan komitmen PKINK dalam menyokong agenda pembangunan Kerajaan Negeri menerusi penyediaan prasarana yang memberi manfaat langsung kepada rakyat serta komuniti perniagaan.
Menurutnya, kemudahan yang disediakan mampu menceriakan kawasan sekitar Bangunan PKINK dan membuka lebih banyak peluang ekonomi dan mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada pembangunan bandar yang berdaya saing serta mampan.
“Syabas dan tahniah kepada PKINK atas kejayaan menaik taraf Dataran Maharani sebagai satu inisiatif membantu Kerajaan Negeri membangunkan bandar Kota Bharu.
Sumber: inforakyat.kelantan.my