WNA Beauty dinobat Tokoh Usahawan Wanita DUN Temangan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
MACHANG, 24 Jun – Pengasas WNA Beauty Wan Nur Amirah Wan Alias, 29, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Usahawan Wanita sempena Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) Peringkat DUN Temangan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan sumbangannya dalam bidang keusahawanan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Temangan YB Dato’ Mohamed Fadzli Hassan berkata, penganugerahan tersebut membuktikan wanita Kelantan mampu mencipta kejayaan dan menjadi contoh kepada masyarakat melalui kesungguhan serta ketekunan dalam bidang yang diceburi.
Menurutnya, kejayaan yang diraih Wan Nur Amirah diharap dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan dan meningkatkan taraf ekonomi keluarga.
“Anugerah ini merupakan penghargaan atas kegigihan, kecekalan dan sumbangan beliau dalam bidang keusahawanan, sekali gus menjadi inspirasi kepada wanita lain untuk terus maju dan berjaya.
“Semoga beliau terus melahirkan lebih ramai mentee melalui program pembangunan wanita dan ibu-ibu serta membimbing generasi usahawan yang berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah DUN Temangan, pada Isnin.
Sumber: inforakyat.kelantan.my