KelantanNegeri

Kelantan satu-satunya negeri laksana Program Murajaah Hafazan Al-Quran secara tersusun

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media YB Ustaz Asri Daud

KOTA BHARU, 23 Jun – Kelantan menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang melaksanakan Program Murajaah Hafazan Al-Quran secara tersusun dan menyeluruh menerusi inisiatif yang digerakkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Yang Dipertua MAIK, YBM Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, program berkenaan dilaksanakan bagi mewujudkan suasana dan budaya cintakan al-Quran dalam kalangan masyarakat, selain menyediakan ruang kepada para penghafaz al-Quran mengulang serta mengekalkan hafalan mereka secara berterusan.

Menurut beliau, program itu dilaksanakan di masjid-masjid terpilih menerusi penggunaan Modul Murajaah Hafazan Al-Quran MAIK yang digubal dan dibangunkan oleh Jawatankuasa Panel Penilai Program Insentif Huffaz Al-Quran MAIK.

“Modul ini dibangunkan di bawah pimpinan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, YB Sahibul Samahah Dato’ Kaya Perba Dato’ Mohamad Shukri Mohamad  bersama para pakar dalam bidang al-Quran.

“Program ini amat istimewa dan membanggakan kerana setakat ini Kelantan merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang melaksanakan program seumpama ini secara tersusun dan menyeluruh.”

Sumber: inforakyat.kelantan.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️