AMK 2025 suntik semangat pengamal media terus berkarya, berintegriti
Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 16 Jun – Para pemenang utama Anugerah Media Kelantan (AMK) 2025 menyifatkan pengiktirafan yang diterima bukan sekadar penghargaan terhadap pencapaian peribadi, sebaliknya pengiktirafan kepada seluruh pasukan media yang bekerja di belakang tabir dalam menyampaikan maklumat berkualiti kepada masyarakat.
Mereka turut berharap penganjuran AMK diteruskan sebagai platform mengiktiraf kecemerlangan pengamal media serta merangsang penghasilan karya yang berintegriti, berimpak tinggi dan dekat dengan rakyat.
Bagi kategori Penyampai Radio Swasta Terbaik penyampai THR Gegar Fazlisham Mat Hussin atau lebih dikenali sebagai Issey, yang dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama menerusi siaran Banjir Kelantan Peringatan menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai penghormatan besar yang dikongsi bersama seluruh pasukan penyiaran yang menjadi tulang belakang kejayaannya.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas pengiktirafan sebagai Penyampai Radio Swasta Terbaik sempena Anugerah Media Kelantan 2025.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan, Kelab Media Kelantan Darul Naim dan barisan panel juri atas penghargaan yang cukup bermakna ini.
“Sebenarnya, anugerah ini bukan milik saya seorang. Ia adalah hasil kerja berpasukan yang sentiasa berada di belakang tabir dan di hadapan mikrofon setiap pagi,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan penyampainya dalam segmen Bro Pagi Gegar, Hafizi Roslan, yang sentiasa menjadi rakan seperjuangan dalam menghiburkan dan menceriakan pagi para pendengar.
Menurutnya, kejayaan tersebut juga tidak dapat dipisahkan daripada sokongan pasukan pengurusan THR Gegar termasuk Pengurus Kandungan Nik Mohamed Fariz Nek Hassan serta Pengurus Jenama Niq Nur Azarina Sahrin yang sentiasa memberikan kepercayaan, bimbingan dan dorongan sepanjang kerjayanya dalam dunia penyiaran.
“Penghargaan juga saya tujukan kepada seluruh warga kerja THR Gegar, pihak pengurusan, rakan-rakan media, keluarga dan sahabat yang sentiasa mendoakan serta menyokong perjalanan saya dalam industri ini.
“Sebagai anak Kelantan yang merantau, menerima pengiktirafan ini di negeri sendiri memberikan makna yang sangat besar. Ia bukan sekadar sebuah anugerah, tetapi penghargaan yang akan saya kenang sepanjang hayat,” katanya.
Beliau juga mengakui, anugerah tersebut menjadi pemangkin untuk terus memperbaiki mutu penyampaian, menambah ilmu dan memberikan persembahan terbaik kepada pendengar serta industri penyiaran negara.
“Perjalanan ini masih panjang dan saya masih banyak perkara yang perlu dipelajari. Pengiktirafan ini menjadi motivasi untuk saya terus meningkatkan kualiti kerja dan memberikan yang terbaik kepada pendengar.
“Paling istimewa, terima kasih kepada semua pendengar THR Gegar yang memilih untuk bersama kami setiap pagi. Tanpa anda, suara kami hanyalah suara di udara,” katanya.
Sumber: inforakyat.kelantan.my