KelantanNegeri

Anugerah Media Kelantan 2025 nobat 27 karya terbaik, Media Prima ungguli sembilan anugerah

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 13 Jun – Kerajaan Negeri Kelantan melalui portfolio Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta yang diterajui Exco YB Mohd Asri Mat Daud, menzahirkan penghargaan kepada pengamal media di Pantai Timur menerusi penganjuran Anugerah Media Kelantan (AMK) 2025 sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA).

Bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, penganjuran julung kali itu menjadi perintis sambutan HAWANA di peringkat negeri sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan wartawan, editor, jurugambar, jurukamera, penerbit dan penyampai radio dalam menyampaikan maklumat yang tepat, berwibawa serta beretika kepada masyarakat.

Sebanyak 91 pencalonan diterima sepanjang tempoh penyertaan dari 10 hingga 14 Mei lalu untuk bersaing dalam sembilan kategori yang merangkumi bidang akhbar, televisyen, fotografi dan radio.

Kategori yang dipertandingkan ialah Berita Akhbar Bahasa Melayu Terbaik, Laporan Khas Akhbar Bahasa Melayu Terbaik, Berita Akhbar Bukan Bahasa Melayu Terbaik, Berita TV Terbaik, Laporan Khas TV Terbaik, Visual TV Terbaik, Gambar Berita Terbaik, Penyampai Radio Kerajaan Terbaik dan Penyampai Radio Swasta Terbaik, siaran sepanjang tahun 2025.

Pada majlis berkenaan, Kumpulan Media Prima menggungguli sembilan podium kejuaraan yang diwakili TV3 meraih Tempat Pertama Laporan Khas TV Terbaik, Tempat Ketiga Laporan Khas TV Terbaik dan Tempat Ketiga Visual TV Terbaik.

Sementara NSTP pula mengungguli Johan Berita Akhbar Bahasa Melayu Terbaik (Harian Metro), Naib Johan Berita Akhbar Bukan Bahasa Melayu Terbaik (New Straits Times) dan Naib Johan Gambar Berita Terbaik (NSTP) serta Tempat Ketiga Laporan Khas Akhbar Bahasa Melayu Terbaik (Berita Harian).

Manakala Media Prima Audio (Molek FM) menggondol Naib Johan Penyampai Radio Swasta Terbaik dan Tempat Ketiga Penyampai Radio Swasta Terbaik.

Berikut adalah senarai penuh pemenang mengikut kategori yang menerima hadiah daripada Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️