Kelantan-LPNM sahut seruan KPKM perkukuh industri nanas melalui sokongan teknologi dan kepakaran
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: FB Dato’ Tuan Saripuidin
KOTA DARULNAIM, 9 Jun — Kerajaan Negeri Kelantan bersama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan terus menyahut seruan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memperkukuh pembangunan sektor nanas menerusi sokongan teknikal, pemindahan teknologi serta pelbagai inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada para petani.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, komitmen tersebut diterjemahkan melalui sesi libat urus bersama komuniti petani nanas di Dewan Negeri (DUN) Selising bagi membincangkan potensi serta hala tuju pengembangan industri berkenaan di kawasan tersebut.
Menurutnya, pertemuan yang turut melibatkan pihak LPNM Negeri Kelantan itu menjadi platform penting untuk mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pengusaha berkaitan cabaran semasa, keperluan industri serta peluang pembangunan yang boleh diterokai.
Sumber: inforakyat.kelantan.my