KelantanNegeri

RM100,000 disalur kepada pekebun durian, Kelantan Sasar Pasaran Durian Premium

Oleh: Irham Hilmi Hashim

PASIR PUTEH, 7 Jun – Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan berjumlah RM100,000 kepada pekebun di bawah Persatuan Usahawan Durian Negeri Kelantan (PUDNK) bagi memperkukuh pembangunan industri durian premium yang berpotensi menembusi pasaran domestik dan antarabangsa.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata permintaan yang semakin meningkat terhadap durian premium membuka peluang besar kepada pengusaha tempatan untuk menghasilkan buah berkualiti tinggi yang mampu bersaing di pasaran global.

Menurutnya, bantuan tersebut meliputi keperluan input pertanian, penyelenggaraan kebun serta penggunaan mekanisasi bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti pengeluaran.

“Durian merupakan antara komoditi bernilai tinggi yang mempunyai potensi besar untuk meningkatkan pendapatan pekebun serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kelantan mempunyai kelebihan dari segi keluasan tanah, pengalaman pekebun serta persekitaran yang sesuai untuk pembangunan tanaman durian premium seperti Musang King dan Duri Hitam,” katanya.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️