WP Kuala Lumpur

“KL BUKAN LAS VEGAS!” – DEWAN ULAMAK PAS WANGSA MAJU SEBULAT SUARA TOLAK HASRAT JADIKAN IBU NEGARA HAB HIBURAN

WANGSA MAJU, 5 Jun – Perwakilan Dewan Ulamak PAS Kawasan Wangsa Maju sebulat suara meluluskan satu usul membantah cadangan serta kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang dilihat mahu menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab hiburan utama negara.

Usul tersebut diluluskan dengan sokongan penuh para perwakilan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Ulamak PAS Kawasan Wangsa Maju yang berlangsung di Markas PAS Kawasan Wangsa Maju semalam.

Menurut Ustaz Mohd Bakri, hala tuju pembangunan Kuala Lumpur tidak seharusnya berpaksikan industri hiburan semata-mata sehingga mengabaikan agenda pembinaan masyarakat yang berakhlak, berilmu dan sejahtera. Sebaliknya, ibu negara perlu diperkasakan sebagai pusat pembangunan ekonomi, pendidikan, kebajikan rakyat serta pengukuhan institusi keluarga.

Krua Dewan Ulamak PAS Wangsa Maju, Ustaz Mohd Bakri menegaskan bahawa usaha mengangkat Kuala Lumpur sebagai hab hiburan berpotensi mencetuskan pelbagai implikasi negatif terhadap masyarakat, khususnya generasi muda. Pendekatan tersebut dikhuatiri membuka ruang kepada peningkatan gejala sosial, keruntuhan moral serta budaya hedonisme yang bertentangan dengan nilai agama, budaya dan identiti negara.

“Dalam keadaan rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi, isu perumahan, peluang pekerjaan serta pelbagai cabaran kehidupan bandar, kerajaan sepatutnya memberi fokus kepada penyelesaian masalah rakyat, bukannya berlumba-lumba mempromosikan agenda hiburan,” tegas salah seorang perwakilan ketika membahaskan usul berkenaan.

Perwakilan turut menegaskan bahawa Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia wajar diangkat sebagai model bandar raya maju yang mengimbangi pembangunan fizikal dengan pembangunan insan, kemajuan ekonomi dengan kekuatan akhlak serta kemodenan dengan nilai keagamaan.

Justeru, Dewan Ulamak PAS Kawasan Wangsa Maju menggesa Kerajaan Persekutuan agar menilai semula pendekatan tersebut dan memberi keutamaan kepada dasar-dasar yang memperkukuhkan institusi masyarakat, memelihara akhlak generasi muda serta menjamin kesejahteraan warga kota secara menyeluruh.

Usul yang diluluskan itu mencerminkan pendirian tegas Dewan Ulamak PAS Wangsa Maju dalam mempertahankan identiti Kuala Lumpur sebagai sebuah ibu negara yang maju, berbudaya dan berteraskan nilai agama, bukannya sebuah kota hiburan yang menghakis jati diri bangsa.

“Kuala Lumpur Perlu Menjadi Hab Kesejahteraan Ummah, Bukan Hab Hiburan Yang Mengundang Keruntuhan Nilai.”

“KL BUKAN LAS VEGAS!”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️