Keluarga Haraki: Betulkan Niat Kahwin, Sedia Berkorban Masa
BESUT – Ahli dan penyokong PAS serta generasi muda diseru untuk memperbetulkan niat perkahwinan dan bersedia mengorbankan masa bersama keluarga dalam usaha membina dan mengekalkan ketahanan institusi ‘Keluarga Haraki’.
Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Besut, Ustazah Fadilah Syed Hamid berkata, rumah tangga yang dibina semata-mata kerana Allah SWT akan lebih ampuh dalam mendepani pelbagai cabaran dan rintangan dalam medan gerak kerja Islam.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan golongan ibu bapa agar memainkan peranan membimbing anak-anak memilih pasangan yang benar-benar memahami tuntutan serta asam garam perjuangan parti.
“Sama-sama kita pesan kepada anak-anak supaya bukan sahaja berkahwin kerana trend atau faktor usia, tetapi mencari pasangan yang boleh memahami konsep Keluarga Haraki.
“Kita juga boleh memanfaatkan saluran parti yang sedia ada seperti Baitul Muslim untuk membantu proses pencarian pasangan di kalangan mereka yang sekufu dalam perjuangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi forum Bicara Keluarga Haraki anjuran Lajnah Pembangunan Insan dan Kerukunan Keluarga (LPIKK) PAS Kawasan Besut dengan kerjasama LPIKK Dewan Muslimat di Dewan Sivik Kampung Baru, di sini, pagi tadi.
Turut menjadi ahli panel ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, YB Ustazah Nor Asilah Mohamed Zin, manakala program dikendalikan oleh AJK Nusaibah Negeri Terengganu, Ustazah Asiah Adni Adnan selaku moderator.
Sementara itu, mengulas mengenai cabaran masa, Ustazah Nor Asilah mengingatkan para amilin agar sentiasa ikhlas memandangkan tanggungjawab dalam politik sering menuntut komitmen masa yang sangat tinggi.
Menurutnya, kekangan masa bersama keluarga boleh diatasi melalui pengurusan masa yang kreatif, seperti memanfaatkan waktu di dalam kenderaan ketika memandu ke program sebagai ruang tarbiyah untuk anak-anak.
“Bila kita berkecimpung dalam politik, masa kita yang pertama dengan keluarga memang kita tidak dapat. Namun, bila kita ikhlas dan berjuang tanpa mengharapkan sebarang balasan (gaji), Allah SWT akan aturkan urusan kita dengan sendirinya,” jelas beliau.
Program yang menyasarkan penyertaan seluruh Muslimat PAS kawasan itu telah dirasmikan oleh Setiausaha PAS Kawasan Besut, Haji Shalahhudin Jaafar.