Dua chef anak Kelantan wakili Malaysia di pentas kulinari ASEAN
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 24 Mei — Dua chef anak Kelantan dipilih mewakili Malaysia ke program gastronomi serantau “Pharmtable: Masa Depan Kulinari ASEAN” di Wilayah Chanthaburi dan Bangkok, Thailand dari 22 hingga 25 Mei, sekali gus mengangkat warisan kulinari negeri ke pentas antarabangsa.
Sehubungan itu, Exco Kebudayaan, Pelancongan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, penyertaan tersebut mencerminkan pengiktirafan terhadap keunikan gastronomi Kelantan yang semakin mendapat perhatian di peringkat serantau.
Program berprestij itu menghimpunkan chef dari negara ASEAN termasuk Singapura, Brunei Darussalam, Vietnam, Timor-Leste, Myanmar, Indonesia, Kemboja dan Thailand selaku tuan rumah bagi mempersembahkan warisan kulinari masing-masing.
“Tahniah diucapkan kepada dua chef anak Kelantan iaitu Chef Norhisyam Musthapa dari Ibis Hotel serta Chef Wardi Hassan dari Grand Riverview Hotel, Kota Bharu yang diberi penghormatan membawa nama Malaysia menerusi persembahan menu tradisional terkenal Negeri Kelantan iaitu Nasi Kerabu,” katanya menerusi media sosial, pada Sabtu.
Sumber: inforakyat.kelantan.my