10 usahawan kecil terima bantuan Skim Bina Usahawan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
PASIR PUTEH, 20 Mei — Sejumlah 10 usahawan kecil menerima bantuan wang tunai menerusi Skim Bina Usahawan DUN Gaal Fasa 1 Tahun 2026 sebagai inisiatif Kerajaan Negeri Kelantan membantu meningkatkan ekonomi dan pendapatan keluarga.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Gaal YB Mohd Rodzi Ja’afar berkata, bantuan melibatkan peruntukan sebanyak RM10,000 itu diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh para penerima bagi mengembangkan lagi perniagaan masing-masing.
Menurutnya, golongan peniaga dan usahawan kecil memainkan peranan penting dalam merancakkan ekonomi setempat selain membantu meningkatkan taraf kehidupan keluarga.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Skim Bina Usahawan DUN Gaal Fasa 1 Tahun 2026 di Dewan Sri Gaal, Pejabat Pusat Khidmat DUN Gaal, semalam.
Sumber: inforakyat.kelantan.my