Ilmu kekeluargaan harus dikuasai ibu bapa – Exco Pembangunan Keluarga
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Dato’ Rohani
KOTA DARULNAIM, 18 Mei – Ilmu kekeluargaan dan keibubapaan perlu dikuasai secara bersama oleh ibu bapa bagi mewujudkan institusi keluarga yang seimbang serta harmoni.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, penglibatan bapa dalam program berkaitan keibubapaan dan pembangunan keluarga amat penting kerana tanggungjawab mendidik anak bukan hanya dipikul oleh ibu semata-mata.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Komunikasi Kreatif: Smart Parenting 2026 yang melibatkan 91 peserta di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, semalam.
“Ilmu parenting ini harus dikuasai oleh dua-dua pihak, lelaki dan perempuan, suami dan isteri, ayah dan ibu. Barulah orang panggil seimbang dan segala masalah dalam keluarga boleh diselesaikan bersama.
“Kalau hanya seorang sahaja hadir kursus, ilmu yang diperoleh itu perlu dikongsi dengan pasangan di rumah supaya manfaatnya dapat dirasai bersama,” jelasnya.
Sumber: inforakyat.kelantan.my