KFLI-IYRES aktifkan belia Kelantan melalui ICE dan MyProfil
Oleh: Syamimi Manah
Foto: Media IYRES
PUTRAJAYA, 14 Mei – Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) bersama Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) di bawah Kementerian Belia dan Sukan merangka kerjasama strategik bagi mengaktifkan penglibatan komuniti belia di Negeri Kelantan melalui inisiatif IYRES Community Enumerator (ICE) dan platform MyProfil.
Ketua Eksekutif Sekretariat KFLI Mohd Ridhuwan Che Musa berkata, kerjasama itu merupakan langkah strategik dalam memperkukuh pembangunan belia berasaskan data serta penglibatan komuniti secara lebih menyeluruh.
“Kerjasama ini membuka ruang yang lebih luas kepada KFLI untuk memperkasa agenda pembangunan belia melalui pendekatan berasaskan data, khususnya penggunaan MyProfil sebagai platform utama,” katanya di laman rasmi, hari ini.
Pertemuan strategik kedua-dua pihak berlangsung di pejabat IYRES, Menara KBS, Putrajaya pada 11 Mei.
Sumber: inforakyat.kelantan.my