Sidang Khas Parlimen segera diminta lindungi Misi Kemanusiaan Malaysia – YB Abdul Latiff
Oleh: Norzana Razaly
KUALA LUMPUR, 1 Mei — Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman mendesak kerajaan Malaysia agar memanggil Sidang Khas Parlimen dalam kadar segera bagi membincangkan mekanisme perlindungan diplomatik terhadap aset serta warga Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan di perairan antarabangsa.
Beliau yang juga Ahli Kaukus Palestin Parlimen Malaysia serta Ahli The League of Parliamentarians for Al-Quds & Palestine berkata, tindakan itu penting susulan insiden yang menimpa peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF 2.0) yang disifatkan sebagai pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa.
“Parlimen Malaysia perlu menegaskan bahawa sebarang serangan ke atas misi kemanusiaan awam adalah serangan ke atas nilai kemanusiaan sejagat yang didukung oleh Malaysia.
“Saya menuntut agar Malaysia menerajui gerakan di peringkat OIC dan PBB untuk mengenakan sekatan ekonomi dan diplomatik total terhadap rejim yang tidak menghormati kedaulatan undang-undang antarabangsa,” tegasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sumber: inforakyat.kelantan.my