Pilih laluan pengajian ikut minat, bukan tekanan – YB Nik Bahrum
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media YB Nik Bahrum
PENGKALAN CHEPA, 30 April – Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Nik Bahrum Nik Abdullah mengingatkan pelajar cemerlang agar memilih bidang pengajian berdasarkan minat dan kecenderungan sendiri, bukan dipengaruhi tekanan atau harapan pihak lain.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 DUN Chempaka yang diadakan di kediamannya, pada Jumaat lalu.
Menurutnya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka , keputusan yang dibuat berasaskan minat akan membantu pelajar mengekalkan motivasi serta mencapai kecemerlangan berterusan dalam bidang yang diceburi.
“Pilihlah laluan yang benar-benar diminati, dengan mengambil kira nasihat ibu bapa, namun tetap selari dengan minat dan kecenderungan diri,” katanya.
Dalam majlis tersebut, sebanyak 23 pelajar diraikan selepas mencatat pencapaian cemerlang dengan sekurang-kurangnya 7A bagi SPM dan Jayyid Jiddan bagi STAM.
Sumber: inforakyat.kelantan.my