LTSIP: Gerbang utama akses strategik pelawat dan pelabur
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 18 April — Projek menaik taraf Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) mengangkat kedudukannya sebagai gerbang utama Kelantan, sekali gus memperluas akses strategik kepada pelawat, pelabur serta arus pembangunan nasional.
Projek berimpak tinggi hasil kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri itu menjadi pemacu utama pengukuhan sektor pengangkutan udara serta pertumbuhan ekonomi negeri.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menzahirkan penghargaan terhadap komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menjayakan projek tersebut.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian terminal baharu LTSIP yang disempurnakan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Anjung Tinjau, Aras Mezzanine, di sini, hari ini.
Sumber: inforakyat.kelantan.my