NegeriTerengganu

Saya Tumpang Kekuatan PAS – Ezam Mohd Nor

DUNGUN — “Saya masuk PAS bukan untuk kuatkan PAS, tetapi untuk kuatkan diri saya,” tegas bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor.

Menurutnya, ramai yang menganggap apabila beliau menyertai PAS, itu akan menguatkan parti yang merupakan gerakan Islam itu.

“Tapi terbalik , saya masuk PAS untuk kuatkan diri saya, saya tumpang kekuatan PAS, kita hendakkan perpaduan tetapi di bawah panji apa, payung apa, payung Islam,

“Islam itu di mana, dalam PAS, masuklah , masuklah sebagai ahli, yang penting penting perjuangan, yang penting kita berada dalam bahtera perjuangan, dalam jemaah(Islam),

“Saya sebagai ahli biasa, tiada masalah orang PAS tak ada masalah, sebab apa , sebab kita letakkan dalam perjuangan. ini yang harus kita lakukan sekiranya kita mahu kuat”, jelasnya.

Ezam yang menyampaikan Ceramah Mega Isu Semasa yang diadakan di perkarangan Markaz Che Lijah di sini pada 10 April dan dianjurkan oleh PAS Kawasan Dungun.

Turut sepentas berceramah ialah Yang Dipertua PAS Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli, Timbalannya, Ustaz Azman Shafawi Abdul Rani serta dipengerusikan oleh Ketua Penerangan kawasan itu, Naraza Muda dan turut dihadiri Naibnya, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik.

Katanya, dalam menghadapi cabaran akhir zaman, umat Islam perlu kembali bersatu di bawah satu payung yang jelas, iaitu Islam.

“Kalau kita hendak perpaduan, kita mesti jelas di bawah panji apa, jawapannya adalah panji Islam, dan bagi saya wadah itu ada dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS), sebab itu saya sendiri menghantar borang keahlian kepada Ustaz Idris,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai landskap politik semasa, dengan menyatakan ketegasan PAS memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dalam beberapa isu penting.

Mengakhiri kenyataannya, Ezam menyeru rakyat, khususnya di Terengganu, untuk bangkit ke hadapan dalam memperkukuh perjuangan Islam.

“Terengganu ada asas dan tapak, kemenangan bukan kerana wang, tetapi hasil tarbiah yang berterusan, inilah kekuatan sebenar yang perlu kita pertahankan,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang disifatkan sebagai seorang pemimpin berprinsip dan tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan.

“PAS bukan parti biasa, tetapi gerakan Islam. Saya percaya kepada Tok Guru Haji Hadi. Saya tahu pada waktunya beliau akan membuat keputusan yang besar dan memberi kesan kepada negara,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️