Koperasi pertanian platform perkasa industri agro, atasi kos meningkat – Exco Pertanian
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 5 April – Penubuhan dan pemerkasaan koperasi pertanian dilihat sebagai antara pendekatan strategik bagi memperkukuh industri agro tempatan dalam berdepan peningkatan kos input serta cabaran semasa sektor pertanian.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, penganjuran Bengkel Koperasi Pertanian Al-Falah merupakan kesinambungan kepada Seminar Keusahawanan dan Koperasi yang telah diadakan sebelum ini di Jeram Mengaji Agro Resort, yang membincangkan aspek koperasi secara menyeluruh.
“Program hari ini memberi fokus khusus kepada koperasi pertanian, selari dengan resolusi seminar yang menekankan pembangunan sektor agropertanian dan agromakanan,” katanya ketika merasmikan bengkel tersebut di Baruh Padi Alami, Kampung Lubuk Jambu, di sini, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang hadir serta menyifatkan penglibatan aktif mereka sebagai petanda kesungguhan untuk memajukan sektor pertanian melalui platform koperasi.
Menurutnya, Pusat Khidmat DUN (PKD) boleh memainkan peranan bersama kerajaan negeri dalam memperkasakan industri pertanian, memandangkan terdapat pelbagai peruntukan daripada agensi negeri dan Persekutuan yang boleh dimanfaatkan dalam skop berkenaan.
“Projek-projek yang dibangunkan perlu bersifat bersasar, bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, tetapi juga mampu membantu koperasi menjana pendapatan secara mampan,” jelasnya.
Tambahnya, fokus kepada koperasi pertanian termasuk subsektor penternakan dan industri hiliran membuka ruang luas kepada pembangunan projek baharu, lebih-lebih lagi dengan sokongan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia yang menyediakan pelbagai kemudahan serta bantuan.
Sumber: inforakyat.kelantan.my