KelantanNegeri

Kebajikan yang memanusiakan: Menelusuri inisiatif terhadap armalah Kelantan dalam bingkai sosial dan warisan Umar al-Khattab

Oleh: Norzana Razaly

Dalam mana-mana masyarakat yang ingin berdiri teguh sebagai masyarakat berperadaban, ukuran kemajuannya tidak seharusnya dibatasi oleh angka pelaburan, pembangunan fizikal atau pertumbuhan ekonomi semata-mata. Ukuran yang lebih halus tetapi jauh lebih bermakna ialah sejauh mana sesebuah kerajaan memandang golongan rentan dengan pandangan ihsan, menyediakan perlindungan sosial yang berstruktur, dan membuka ruang maruah untuk mereka bangkit semula.

Dalam konteks ini, usaha kebajikan Kerajaan Negeri Kelantan terhadap golongan armalah memperlihatkan suatu pendekatan yang bersifat pentadbiran dan berakar pada falsafah sosial yang mendalam.

Panggilan penghormatan
Istilah “armalah” dipilih sebagai panggilan yang penuh penghormatan kepada wanita yang kematian suami, sekali gus mengangkat kedudukan mereka sebagai insan yang memikul amanah besar dalam keluarga dan masyarakat.

Penggunaan istilah yang diperkenalkan oleh Almarhum Tan Sri Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat, penting dari sudut sains sosial kerana bahasa adalah pembentuk kesedaran kolektif. Apabila golongan ibu tunggal disebut dengan istilah yang sarat martabat, maka dasar kebajikan itu sendiri bergerak daripada kerangka belas kasihan kepada kerangka pengiktirafan sosial.

Atas asas itu, beberapa inisiatif kebajikan yang dirangka oleh Kerajaan Negeri Kelantan wajar dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem perlindungan sosial. Skim Manfaat Armalah (SMA), misalnya, memberi bantuan kepada wanita yang baru kehilangan suami. Pada saat duka masih tebal dan struktur hidup keluarga belum stabil, bantuan seperti ini sangat signifikan.

Dalam analisis sains sosial, fasa awal selepas kehilangan pasangan merupakan tempoh paling kritikal kerana isi rumah akan berhadapan kejutan emosi, ketidaktentuan pendapatan dan gangguan rutin penjagaan anak. Bantuan segera pada tahap ini berfungsi sebagai penampan sosial agar keluarga tidak terus tergelincir ke jurang kemiskinan.

Begitu juga dengan Skim Khairat Armalah (SKA), yang memberi khairat kematian kepada waris armalah yang meninggal dunia. Skim ini memperlihatkan bahawa kebajikan negeri tidak terhenti setakat kehidupan armalah semasa masih hidup, tetapi turut mengambil kira beban waris setelah pemergian mereka. Ini penting kerana kematian dalam keluarga miskin sering membawa implikasi kewangan yang besar, bahkan boleh mencetuskan hutang baharu. Dengan kata lain, intervensi ini menzahirkan bahawa kebajikan yang berkesan ialah kebajikan yang memahami kitaran hidup manusia secara menyeluruh.

Lebih menarik, pendekatan Kerajaan Negeri tidak terhad kepada bantuan konsumtif. Melalui bantuan Ad-Hoc Armalah dan program Sosio-Ekonomi Armalah yang menyediakan peralatan perniagaan, terdapat usaha jelas untuk mengubah bantuan kepada pemerkasaan. 
Dalam kerangka pembangunan sosial, bantuan tunai penting untuk kelegaan jangka pendek, tetapi kelangsungan hidup yang bermaruah memerlukan keupayaan menjana pendapatan sendiri. Justeru, apabila armalah dibantu dengan peralatan perniagaan, kerajaan sebenarnya sedang memindahkan mereka daripada status penerima pasif kepada pelaku ekonomi yang aktif. Inilah bentuk kebajikan progresif, yakni kebajikan yang membina daya tahan.

Prinsip kebajikan
Di sinilah relevannya kita mengaitkan inisiatif ini dengan konsep kebajikan pada era Khalifah Umar al-Khattab. Dalam sejarah pemerintahan Islam, Umar al-Khattab sering dirujuk sebagai model kepimpinan yang tegas pada dasar tetapi lembut pada keadilan sosial. Pemerintahannya memastikan kebajikan rakyat menjadi amanah langsung negara. Riwayat-riwayat tentang beliau yang turun sendiri meninjau keadaan rakyat, memikul gandum untuk keluarga yang kelaparan, dan memastikan golongan lemah tidak terbiar, menunjukkan bahawa dalam tradisi Islam, negara tidak boleh bersikap neutral terhadap penderitaan sosial.

Lebih penting lagi, prinsip kebajikan pada era Umar bukan bersifat karitatif semata-mata, tetapi bersifat institusional. Negara berfungsi sebagai pelindung kepada balu, anak yatim, fakir miskin dan mereka yang kehilangan sumber sokongan hidup. Dalam semangat itulah, Skim Pendidikan Anak Yatim serta Skim Bantuan Bapa Tunggal di Kelantan perlu dibaca.

Kerajaan bukan hanya menumpukan wanita yang kehilangan suami, tetapi juga anak-anak yatim yang memerlukan kesinambungan pendidikan serta lelaki miskin yang kematian isteri. Ini menggambarkan suatu kefahaman bahawa kerentanan sosial mempunyai pelbagai wajah, dan setiap wajah memerlukan respons dasar yang adil serta kontekstual.

Program Himpunan Armalah DUN
Beberapa majlis penyampaian bantuan yang berlangsung sekitar Mac mengukuhkan lagi gambaran tersebut. Pada 13 Mac, Program Himpunan Armalah Peringkat DUN Meranti 2026 di Madrasah Nasrullah Pohon Buluh, Pasir Mas, menyaksikan sejumlah 577 armalah menerima bantuan. Majlis yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Dato’ Ustaz Mohd Nassuruddin Daud itu adalah manifestasi kehadiran pemimpin negeri di tengah masyarakat.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️