19 pasukan keselamatan di Kelantan terima sumbangan kuih raya
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 12 Mac – Sebanyak 19 pasukan keselamatan di Kelantan menerima sumbangan kuih raya daripada kerajaan negeri sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan mereka dalam memastikan keselamatan dan keamanan negeri terus terpelihara.
Sumbangan berkenaan disampaikan Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nasuruddin Daud kepada wakil pasukan keselamatan di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Dato’ Mohd Nasuruddin berkata, pengorbanan serta komitmen tinggi anggota pasukan keselamatan dalam menjalankan tugas masing-masing bagi memastikan keamanan dan keharmonian masyarakat sentiasa terpelihara dan sememangnya wajar dihargai serta disanjung tinggi oleh kerajaan negeri.
“Tanpa komitmen, pengorbanan dan peranan yang dimainkan oleh tuan-tuan sekalian, sudah tentu sukar untuk kita menikmati suasana kehidupan yang aman, tenteram dan sejahtera seperti yang dikecapi pada hari ini,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Sumber: inforakyat.kelantan.my