120 Guru PASTI Terima Bantuan
Oleh : Siti Sopiah Sulaiman
HULU TERENGGANU – Seramai 120 tenaga pengajar Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di Kawasan Hulu Terengganu menerima sumbangan khas sempena sambutan Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Terengganu, YB Maliaman Kassim dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Perkarangan Pejabat PAS Kawasan Hulu Terengganu, pada pagi tadi.
Menurut Maliaman, pemberian sumbangan itu melibatkan guru-guru dari empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Telemong, Manir, Kuala Berang dan Ajil.
“Ia merupakan tanda apresiasi pihak kepimpinan terhadap komitmen jitu guru-guru PASTI yang menjadi tulang belakang dalam mendidik generasi Islam di daerah ini.
“Warga pendidik PASTI adalah permata kita. mereka bukan sekadar mengajar, malah merupakan penggerak utama dalam membentuk sahsiah anak-anak di peringkat awal.
“Sumbangan ini sedikit sebanyak diharapkan dapat membantu meringankan beban dan memberi keceriaan kepada mereka dalam membuat persiapan di bulan Ramadan ini dan Syawal yang bakal tiba nanti,” jelasnya ketika berucap dalam majlis berkenaan.
Mengulas lanjut mengenai kebajikan guru, Maliaman turut menyatakan hasrat untuk membawa warga pendidik bersiar-siar atau rehlah pada masa akan datang sebagai salah satu inisiatif menghargai jasa mereka.
“Suatu masa, Insyaa Allah saya nak ajak guru-guru PASTI gi jalan atau melancong untuk kita ‘recharge’ semangat dan ceriakan hati masing-masing.
“Doakan moga ada rezeki lebih untuk kita usahakan program ini nanti. Saya sangat hargai dedikasi semua, dan ini adalah impian saya untuk raikan anda semua sebagai wira di belakang tabir,” katanya.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih atas kehadiran semua guru yang sudi meluangkan masa hadir ke majlis tersebut.
“Meskipun sibuk dengan tugasan harian masing-masing dan menyifatkan pertemuan itu sebagai platform terbaik untuk memperkukuhkan ukhuwah,” tambah beliau lagi.