RM15 Juta Dana MB Tak Guna — Kamarol Ridzuan Cadang Salur Ke ADUN Pembangkang
Nota: Isu/cadangan ini dibangkitkan Hj Kamarol Ridzuan, ADUN Paroi, semasa menjalankan tugas rasmi sebagai wakil rakyat di sidang Dewan — direkodkan rasmi dalam Hansard, bukan tuduhan yang diungkit selepas tempoh perkhidmatan. Rekod berdasarkan Hansard setakat tarikh sidang berkenaan; sekiranya ada perkembangan/penyelesaian lanjut selepas itu, ia tertakluk kepada kenyataan terkini pihak berkuasa.
PAROI — RM15.06 juta daripada Akaun Amanah Dana Khas Menteri Besar dilaporkan masih tidak dibelanjakan pada 2024, menurut penemuan Laporan Ketua Audit Negara Bil.3/2025. Isu ini dibangkitkan Hj Kamarol Ridzuan, ADUN Paroi, dalam sidang Belanjawan Disember 2025.
Bukan Sekadar Bangkit Isu — Cadang Penyelesaian
Kamarol Ridzuan tidak sekadar mempersoalkan baki dana yang tidak digunakan, tetapi mengemukakan cadangan konkrit — sekiranya benar permohonan kurang menyebabkan dana tidak dibelanjakan, beliau mencadangkan ruang dibuka kepada ADUN Pembangkang yang sentiasa bersungguh-sungguh memohon peruntukan demi manfaat rakyat yang diwakili.
“Kami di blok pembangkang bukan menagih simpati, apatah lagi mendesak tanpa asas, tetapi menuntut hak yang adil untuk memastikan perkhidmatan dan kebajikan rakyat di kawasan kami tidak ketinggalan. Hanya kerana perbezaan logo parti.”
Beliau turut membandingkan angka peruntukan — bajet 2026 dana berkenaan mencecah RM56 juta, berbanding RM45 juta (2025) dan RM33.73 juta (2023) — sambil menegaskan sokongan kepada prinsip bajet berimbang demi kebaikan negeri secara keseluruhan.
“Menyantuni semua ADUN secara adil, dan tidak meminggirkan mana-mana pihak hanya kerana mereka tidak berada dalam blok Kerajaan. Kami ni check and balance Kerajaan.”
Sumber: Penyata Rasmi Dewan Undangan Negeri Sembilan, Persidangan Belanjawan, 11 Disember 2025, ms 265-266 (rekod Hansard).