600 OKU terima sumbangan Program Menggapai Keberkatan Ramadan
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 2 Mac – Sebanyak 600 Orang Kurang Upaya (OKU) di seluruh Kelantan menerima sumbangan sempena Program Menggapai Keberkatan Ramadan OKU yang berlangsung di Masjid Jamek Sultan Mansor, Kampung Sireh, hari ini.
Program berkenaan adalah anjuran Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan (MPPOK).
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang DiPertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan YBM Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz yang menzahirkan rasa besar hati dapat bersama komuniti OKU Kelantan dalam program berkenaan.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur khususnya U-KeKWa dan MPPOK atas kerjasama, komitmen serta kesungguhan dalam menjayakan program tersebut, di samping menghargai semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.
Sumber: inforakyat.kelantan.my