Kelantan tumpu pembangunan insan, bukan sekadar fizikal – Exco Belia
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 23 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan memberi penekanan terhadap aspek pembangunan insan dalam usaha memperkasa golongan belia agar lebih bersedia menghadapi cabaran dunia moden yang serba pantas.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, YB Zamakhshari Muhamad berkata, dalam keadaan anak muda mudah terdedah kepada kekeliruan dan tekanan, agenda pembangunan tidak boleh hanya tertumpu kepada aspek fizikal serta ekonomi semata-mata.
Menurutnya, kerajaan negeri komited memastikan agenda belia dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan, bukan sekadar tertumpu kepada aktiviti sukan atau program bermusim.
“Di Kelantan, antara perkara yang diberi penekanan adalah aspek pembangunan insan. Kita mahu pembangunan yang melibatkan rohani, intelektual dan kepimpinan.
“Sebagai contoh, program pembangunan rohani seperti Anak Muda Tamu Ramadan, pembangunan intelektual melalui program townhall dan diskusi, selain program kepimpinan seperti Kelantan Future Leaders dan Gentera.”
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Anak Muda Tamu Ramadan 1447H /2026M di sebuah hotel di sini baru-baru ini.
Sumber: inforakyat.kelantan.my