Madinah Ramadan 1447H: Agenda nasional, model tadbir urus bandar islamik – YB Hilmi
Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Exco
KUALA LUMPUR, 11 Februari – Penganjuran Madinah Ramadan kini berkembang sebagai agenda nasional yang menghimpunkan kerjasama kerajaan, sektor korporat dan masyarakat sivil, sekali gus menjadi model pengurusan bandar berteraskan nilai Islam yang tersusun dan berimpak.
Demikian kenyataan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, YB Hilmi Abdullah ketika menyampaikan ucapan alu-aluan Majlis Makan Malam Penajaan Madinah Ramadan 1447H yang berlangsung di ibu negara, hari ini.
Majlis yang dirasmikan Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YBM Dato’ Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal.
YB Hilmi turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja dan rakan strategik yang berganding bahu bersama Kerajaan Negeri Kelantan serta Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dalam menjayakan agenda berkenaan.
Menurutnya, penganjuran majlis di Kuala Lumpur membawa makna besar kerana mencerminkan peluasan peranan Madinah Ramadan daripada inisiatif setempat kepada gerakan bersama di peringkat nasional.
Sumber: inforakyat.kelantan.my