Tema “Al-Quran Membentuk Sahsiah Mulia” tepat dengan cabaran semasa – MB Kelantan
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 4 Februari – Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud mengifatkan tema penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan (MTQHK) 2026, iaitu “Al-Quran Membentuk Sahsiah Mulia”, amat bertepatan dengan realiti semasa masyarakat yang kini berdepan pelbagai cabaran sosial dan krisis nilai yang semakin meruncing.
Menurutnya, ummah hari ini sedang berhadapan dengan keruntuhan moral, kekeliruan identiti, krisis akhlak serta kehilangan pedoman hidup yang semakin ketara dalam masyarakat.
“Dalam suasana mencabar ini, Al-Quran tidak seharusnya difahami sekadar sebagai kitab bacaan, sebaliknya berperanan membentuk jiwa, membina akhlak dan memandu seluruh aspek kehidupan manusia.
“Pelbagai isu sosial yang membimbangkan kini menjadi bualan masyarakat, antaranya jenayah dadah, kecurian, jenayah seksual termasuk rogol serta pelbagai bentuk jenayah baharu yang semakin kompleks dan sukar ditangani.”
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan 1447H /2026M, di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak, Panji, malam tadi.
Sumber: inforakyat.kelantan.my