LTSIP Fasa 2 hampir siap, pemindahan operasi dilaksana secara berperingkat
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 4 Februari – Projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Fasa 2 hampir siap sepenuhnya dan dijangka mula beroperasi tidak lama lagi dengan proses pemindahan operasi kemudahan dari Fasa 1 dilaksanakan secara berperingkat.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin memaklumkan bahawa pihaknya berpuas hati dan berterima kasih kepada pihak Kementerian Pengangkutan, Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) dan pasukan pengurusan LTSIP.
Katanya, operasi tidak melibatkan perpindahan menyeluruh kerana sebahagian kemudahan di Fasa 1 masih digunakan sepanjang tempoh peralihan tersebut.
“Buat masa ini, operasi sedang dipindahkan secara berperingkat ke Fasa 2. Ia bukan perpindahan sepenuhnya dan pembukaan rasmi akan dimaklumkan kemudian,” katanya ketika di hubungi, hari ini.
Menurutnya, kemudahan terminal baharu itu dijangka boleh digunakan oleh penumpang menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini sebagaimana yang diumumkan juga oleh YB Menteri Pengangkutan, manakala majlis perasmian pembukaan pula dirancang sekitar April.
Beliau turut memaklumkan bahawa pemeriksaan peralatan keselamatan akan dilaksanakan bagi memastikan semua sistem berada dalam keadaan siap dan selamat sebelum operasi penuh dimulakan.
Dalam usaha mengurangkan kesesakan di kawasan lapangan terbang, LTSIP Fasa 2 direka dengan konsep pengasingan perkhidmatan di lokasi berbeza.
“Terminal baharu ini mempunyai 11 pintu pelepasan untuk penerbangan domestik dan penerbangan antarabangsa. Penerbangan antarabangsa akan menggunakan pintu 1 dan 2” jelasnya.
Sumber: inforakyat.kelantan.my