Perpecahan Politik Melayu Islam Jejas Kepentingan Negara
KUALA TERENGGANU — Perpecahan dalam kalangan orang Melayu Islam khususnya dari sudut politik dilihat semakin meruncing dan memberi kesan langsung terhadap usaha mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negara.
Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Nerus, Haji Hamidi Jusoh berkata, situadi semasa menunjukkan orang Melayu Islam khususnya di Malaysia masih gagal mencapai kesatuan yang kukuh, terutama dalam konteks politik dan isu-isu melibatkan kepentingan agama, bangsa serta institusi beraja.
“Kalau satu dua parti mungkin sihat, tetapi bila terlalu banyak dan tidak bersatu, kita akhirnya gagal menjunjung isu kepentingan orang Melayu Islam secara bersama,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Beliau membandingkan keadaan itu dengan kaum Cina yang walaupun berbeza parti politik, masih mampu bersatu dalam isu tertentu yang melibatkan kepentingan bersama kaum mereka.
Hamidi berkata, beliau menyokong konsep Muafakat Nasional atau apa jua bentuk gabungan politik selagi ia berteraskan Islam sebagaimana digariskan oleh Presiden PAS, tanpa meminggirkan kaum dan agama lain.
Namun katanya, pada masa sama mengiktiraf peranan orang Melayu sebagai kaum majoriti dan peneraju negara.
Mengulas situasi politik di Terengganu, beliau berpandangan UMNO negeri itu masih belum mengambil iktibar daripada kekalahan lalu, apabila kenyataan pimpinan mereka dilihat bercanggah dalam isu kerjasama politik.
“Macam isu terbaru baru ini Pengerusi hubungan kata kita terbuka kepada pintu rundingan untuk muafakat tapi dalam masa yang sama wakil dia kata kita tutup jadi dia hak buka dia hak tutup,” ujarnya.
Tambah beliau, keadaan itu mengingatkan kepada keangkuhan sebelum Pilihan Raya Umum 2018 yang akhirnya membawa kepada kekalahan Umno.
Hamidi menegaskan, perbezaan ideologi politik tidak seharusnya menghalang kerjasama dalam isu kepentingan negeri seperti pembangunan Terengganu, royalti petroleum dan kebajikan rakyat, dengan mengambil contoh pendekatan lebih matang yang diamalkan di Kelantan.
“Tengok benda ini berbeza di negeri Kelantan walaupun mereka brbalah dari sudut politik tapi dari segi pembangunan negeri mereka kena bersatu dan bersama,” katanya lagi.