Anak Kelantan di perantauan diingatkan amal cara hidup Islam
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA DARULNAIM, 25 Januari – Anak-anak Kelantan yang berada di perantauan diingatkan supaya sentiasa membawa serta mengamalkan cara hidup Islam walaupun menetap di tempat orang, sekali gus menjaga identiti dan jati diri sebagai rakyat negeri itu.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata setiap anak Kelantan merupakan duta kepada negeri berkenaan dan perlu menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat setempat.
“Walau di mana kalian berada, anda adalah duta bagi Tanah Serendah Sekebun Bunga, maka tunjukkan contoh teladan yang baik kepada orang lain,” katanya menerusi media sosial pada Sabtu.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar bersama anak-anak Kelantan di Tawau, Sabah, anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN) yang berlangsung pada Jumaat.
Sumber: inforakyat.kelantan.my