Hakisan Pantai Batu Rakit kritikal, Kerajaan Terengganu salur bantuan RM80,000
KUALA NERUS β Kerajaan Negeri telah meluluskan bantuan segeraΒ bernilai RM80,000 untuk menangani masalah hakisan yang semakin parah di Pantai Batu Rakit, yang kini mengancam lebih enam buah rumah, jalan raya, serta kawasan perkuburan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, berkata peruntukan tersebut akan digunakan untuk membina benteng batu bagi melindungi kawasan kritikal, termasuk sekitar rumah penduduk dan tanah perkuburan di Kampung (Kg) Pengkalan Maras.
βSetakat ini, Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah meluluskan RM50,000 minggu lalu untuk membina benteng batu di kawasan perkuburan.
βHari ini, RM30,000 lagi diluluskan untuk melaksanakan gotong-royong menyelamatkan rumah yang terancam,β katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kawasan hakisan di Pantai Batu Rakit.
Beliau menegaskan bahawa usaha segera ini adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam menjaga keselamatan penduduk.
βKami mahu pastikan semua penduduk selamat, baik nyawa mahupun harta benda mereka.
βWalaupun jalan raya dan sebahagian rumah sukar diselamatkan, kami tetap berusaha sedaya upaya,β tambahnya.
Menurut Mohd Shafizi, sehingga kini, empat keluarga telah dipindahkan dari kawasan berisiko di Pantai Batu Rakit ke Kg Kolam, dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.
βAlhamdulillah, keluarga yang dipindahkan kelihatan ceria dan berterima kasih atas usaha ini.
βKeutamaan kami adalah keselamatan dan juga nyawa mereka,β ujar beliau.
ADUN Batu Rakit turut menjelaskan bahawa ancaman hakisan masih berterusan dengan beberapa rumah dan kedai turut menjadi mangsa.
βMangsa hakisan kini kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian, menjadikan keadaan semakin meruncing.
βHakisan bukan sahaja memusnahkan rumah, malah ia turut meranapkan kedai-kedai yang menjadi sumber rezeki penduduk.
βKita memohon doa daripada semua pihak agar Allah melindungi mangsa-mangsa ini, terutama rumah-rumah yang masih terancam,β jelasnya.
Mohd Shafizi turut mengucapkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang tampil membantu, termasuk kontraktor dan syarikat swasta.
βSaya ingin berterima kasih kepada GPQ Sdn. Bhd. dan Ain Kontraktor, yang merupakan anak jati kampung ini, atas keprihatinan mereka.
βSumbangan batu daripada Lundang Sdn. Bhd. sangat bermakna kepada penduduk dalam usaha membantu mengawal hakisan.
βDengan sumbangan ini, kami mengharapkan keberkatan dari Yang Maha Esa, semoga urusan penyumbang dan penerima dipermudahkan. Kami percaya, dengan doa dan sokongan semua, masalah ini dapat diatasi,β ujarnya.