Teguhkan Pertahanan!
DUNGUN – Ahli PAS khususnya Muslimat perlu teguh mempertahankan prinsip dan keutuhan parti yang kekal relevan pada hari ini dengan dasar Islam sebagaimana yang dilangsungkan seiring dengan usaha tarbiyah, dakwah dan siyasah yang merupakan asas gerakan PAS.
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT), To’ Puan Zarani Othman berkata, Muslimat konsisten merangka dan melaksanakan agenda pemantapan ahli melalui tarbiyah berterusan dan bersistem agar dapat melahirkan kepimpinan dan jentera yang berkualiti.
“Kualiti sebenar ahli seperti taat, wala’ dan thiqah kepada pucuk pimpinan parti merupakan nilai tambah kepada kelangsungan Jemaah Islam PAS. Ia menjadikan agenda menegakkan Islam di atas muka bumi tetap di landasan walaupun diasak dari segenap sudut oleh musuh-musuh politik dan musuh-musuh Islam amnya.
“Usaha dakwah juga digiatkan demi mencapai perpaduan ummah. Dakwah kita luas mencakup segenap lapisan masyarakat, demi memahamkan konsep Islam sebagai cara hidup. Namun ianya masih memerlukan dokongan kuat dari pemimpin dan ahli Jemaah Islam PAS bagi merealisasikan perkara ini.
“Dari aspek siyasah pula, PAS memilih pendekatan muwajahah silmiyah (pendekatan damai) mengikut konsep demokrasi. Oleh itu, Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) adalah sangat relevan untuk menyebarkan fikrah dan mempertahankan Islam dalam kerajaan yang memerintah hari ini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Muktamar DMPNT di Dewan Darul Bayan di sini baru-baru ini.
Majlis itu turut dirasmikan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya III Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Dr Alias Razak.
Mengulas mengenai tema ‘Teguh Pertahan’, katanya, bagi mencapai cita-cita tersebut, usaha tarbiyah ahli hendaklah dilaksanakan secara lebih teratur dan sistematik. Ini penting bagi memastikan hubungan kesatuan fikrah dan amal sesama ahli tetap terpelihara.
“PAS perlu lebih dominan dalam menggungguli peringkat eksekutif seiring legislatif . DMPNT memandang bahawa keterlibatan Muslimat secara langsung di peringkat urus tadbir kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah sangat penting.
“Justeru satu usaha drastik perlu dirangka dan dikemaskan agar dapat memposisikan muslimat dalam kerajaan bagi membawa suara Muslimat lebih ke hadapan,” jelasnya.