Sekolah DAR Sasar Lahirkan Pelajar Cemerlang
Oleh : Nooreni Abu Bakar
DUNGUN – Pelbagai perancangan diatur oleh pihak pengurusan Sekolah DAR untuk mencapai sasaran melahirkan pelajar cemerlang saksiah dan juga al-Quran serta akademik.
Walaupun tidak mendapat latihan perguruan secara khusus, guru-guru sekolah di bawah kendalian Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu itu, sentiasa didedahkan dengan pelbagai kursus dan bengkel untuk merealisasikan hasrat tersebut.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Guru dan Kakitangan DAR Terengganu, Cikgu Alias Harun berkata kepercayaan masyarakat kepada guru-guru DAR dapat dibuktikan dengan permintaan kemasukan ke sekolah tersebut bertambah setiap tahun.
“Walaupun dengan guru yang tidak mendapat latihan khusus dan prasarana yang serba kekurangan tetapi ibubapa tetap yakin kepada guru-guru yang dedikasi ini mampu mendidik pelajar yang bersaksiah, berakhlak serta berjaya di dalam pelajaran,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Kursus Pemantapan Perguruan Guru – Guru Sekolah Rendah Agama Bersepadu Zainal Abidin yang diadakan di sini pada 4 Januari.
Katanya, seramai 26 orabg guru dari sekolah berkenaan menyertai kursus sehari itu yang dikendalikam oleh pakar-pakar di dalam bidang perguruan.
Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Dungun menambah, dengan imbuhan yang tidak seberapa, kegigihan guru-guru mendidik murid-murid dengan hasrat anak didik mereka kelak menjadi pelajar yang pintar, soleh dan solehah wajar dipuji.
“Maka tidak hairanlah ibubapa menjadikan SRABZA sebagai sekolah pilihan untuk memberi tunjuk ajar kepada anak-anak mereka.” ujarnya lagi
Sementara itu, Guru Besarnya, Cikgu Nurzadiha Ibrahim memberitahu pihaknya terpaksa menghadkan pengambilan pelajar Tahun Satu memandangkan tempat yang terhad.
” Kita tidak dapat menampung pelajar yang ramai dengan tempat dan faciliti yang kita ada, itupun kita terpaksa menambah kepada tiga kelas untuk Tahun Satu dengan 27 orang murid sekelas,” jelasnya.