Lahirkan Lebih Ramai Pengamal Media
KUALA TERENGGANU – Kumpulan Aktivis Media Inspirasi (KAMI) mahu melahirkan lebih ramai pengamal media kerana menyedari kepentingannya, bagi mewajahkan imej positif PAS Negeri Terengganu.
Setiausaha PAS Kawasan Kuala Terengganu, Mohd Soud Said berkata Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPNT) telah bersetuju berkolaborasi dengan KAMI bagi mengadakan bengkel media berkenaan.
“Peserta akan didedahkan dengan pelbagai kemahiran pengurusan (berkaitan) media, seperti penulisan berita, membuat liputan, mengambil serta memproses gambar atau video.
“(Juga) didedahkan dengan kemahiran menyediakan kenyataan media, kemahiran asas komunikasi dengan petugas media dan masyarakat umum,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada surat edaran program tersebut yang bertarikh 16 Disember, disini.
Sehubungan itu, Pengerusi KAMI Naraza Muda berkata, bengkel media yang akan diadakan di Dewan Kampung Panji, Kuala Terengganu itu juga akan mendedahkan peserta menguruskan media baru.
“Seperti Facebook, Twitter, Blog dan juga Youtube. Peserta kita sasarkan melibatkan 12 orang dari setiap DUN.
“Terdiri daripada wakil Majlis Tindakan DUN (MTD), Pemuda, Muslimat dan juga Ameerah DUN,” katanya ketika dihubungi.
Untuk tujuan berkenaan beliau mengharapkan agar program berkenaan dapat dihebahkan kepada semua peringkat agar akan lebih ramai pejuang Islam menerusi media.