Tentang Keras Penindasan Terhadap Etnik Uyghur
Oleh: Fidee Aziz
KUALA TERENGGANU- Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menentang keras tindakan Kerajaan China yang menindas umat Islam Etnik Uyghur di Xinjiang.
Katanya, penindasan yang berlaku secara sistematik ini merangkumi penindasan terhadap hak beragama, penyeksaan mental dan fizikal serta banyak lagi.
Ketuanya, Nasir Razak menegaskan bahawa penindasan yang menimpa umat Islam Uyghur perlu diberi perhatian oleh seluruh pemimpin dan umat Islam di seluruh dunia.
“Sebagaimana Sabda Rasulullah SAW, perumpamaan kaum mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, seumpama tubuh, jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam.
“Ini merupakan satu penafian terhadap hak-hak kemanusian kerana kisah penindasan yang menimpa mereka bukanlah dogengan semata,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataannya di laman Facebook Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, pada hari ini.
Justeru itu, ia menjadi satu kewajipan ke atas negara umat Islam membantu saudara Uyghur sebagaimana usaha menolong rakyat yang ditindas di Palestin, Rohingya dan sebagainya.
“Kami menyeru agar kita semua sama-sama mendoakan keselamatan dan kekuatan buat saudara seislam di sana, terutamanya dengan mengadakan Qunut Nazilah dan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan mereka.
“Kami berdiri teguh di belakang dan bersolidariti bersama dengan etnik Uyghur.” tambah beliau.