NegeriTerengganu

Ameerah dan Puteri Fokus Tawan Hati Anak Muda

KUALA TERENGGANU -Dengan termeterainya Piagam Muafakat Nasional, Muslimat Muda Parti Islam Se-Malaysia(Ameerah) danPuteri Umno akan terus fokus tanpa menoleh ke belakang lagi, dengan agenda untuk menawan hati anak muda khususnya di kalangan wanita.

Ketua Pengarah Ameerah Malaysia, Zuraida Mohd Nor menyuarakan hasrat ini memandangkan wanita dan anak muda adalah kelompok dominan sebagai pengundi.

“Agar mereka turut bersama kita menentukan hala tuju negara ke arah yang lebih stabil, menghormati Perlembagaan dan harmoni.

” Seperti kata Tuan Guru Presiden PAS , “Anak muda sekarang tidak sama macam dulu. Kerana anak muda sekarang terdedah kepada informasi. jika mereka tidak matang, maka salah kita, ” jelasnya.

Zuraida berkata demikian di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Apatah lagi tambahnya, bila had umur mengundi diturunkan ke 18 tahun.

” Kita sudah tidak ada masa membahaskan wajar atau tidak pengundi 18 tahun dibenarkan mengundi. Tindakan yang lebih perlu ialah mendekati dan menarik minat mereka,”sarannya lagi.

Justeru itu, katanya, pihak wanita muda, Ameerah menyarankan bahawa usaha berterusan mesti dilakukan untuk memberi pendidikan politik kepada anak muda supaya mereka berpartisipasi dalam menentukan hala tuju negara.

Beliau yang juga Pengarah Ameerah Terengganu turut menggesa agar anak muda melihat perkara yang lebih besar di sebalik penyatuan PAS dengan Umno, iaitu bukan sekadar penyatuan politik tetapi penyatuan ummah.

Jelasnya, “Dua kelompok besar melayu muslim yang selama ini diasingkan tembok tinggi bernama ideologi politik, kini tembok itu telah diruntuhkan” .

Maka tambahnya, perkembangan baik ini mesti diisi dengan mesej yang lebih besar iaitu membina negara rahmah dengan asasnya ialah perpaduan ummat Islam dan di atas asas Islam.

“Pada awal-awal lagi musuh politik yang menyedari hakikat undi teras ialah undi rakyat majoriti ,begitu pantas menempek label perkauman pada penyatuan ummah ini.

” Kerana mereka risau penyatuan rakyat yang memiliki undi teras ini bakal mengubah kedudukan mereka sebagai kerajaan yang memerintah,” ulas beliau yang melihat ianya sebagai cabaran kepada penyatuan ummah.

Menurutnya usaha memecahbelahkan PAS dan Umno akan sentiasa dimomokkan sehingga Pilihan Raya Umum(PRU) ke-15 dan percubaan untuk menggagalkannya di tengah jalan.

” Lonjakan kedua perpaduan ummah ialah melibatkan bersama bukan Islam dalam kebaikan perpaduan ini. Pandangan skeptikal mereka bahawa penyatuan ini akan meminggirkan mereka, mesti dibuang,” terangnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️